Assalamualaikum.
Bersua
lagi, kali ini cikgu Yani ingin membicarakan mengenai perkara yang agak
merunsingkan kita mengenai situasi yang berlaku dewasa ini. Setiap orang pasti
berbangga dengan pencapaian memperoleh banyak ‘A’ anak-anak mereka dalam
peperiksaan awam.
Bagi
pihak sekolah pula, peratus kelulusan akan diberi perhatian. Seterusnya di
peringkat negeri, pihak kementerian akan membuat perbandingan negeri mana yang
memperoleh keputusan terbaik untuk dinobatkan sebagai “ juara antara negeri
dalam pendidikan”.
Fenomena
seperti ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah. Tidak mengira apa pun strategi, teknik atau
kaedah yang guru gunakan keputusan peperiksaan menjadi fokus utama yang dititik
beratkan. Natijahnya, kecenderungan yang diberi kepada perkembangan intelek
tidak seiring dengan perkembangan lain, khususnya rohani dan emosi.
Kesannya,
lahirlah golongan terpelajar tetapi kurang terdidik akhlaknya. Seumpama para
intelek yang pakar dalam bidang yang diceburi tetapi kurangnya penghayatan adab
yang baik serta tidak menyedari kewujudan Allah yang sentiasa mengawasi segala
pemikiran, perbuatan dan perlakuan mereka pada setiap masa dan ketika.
Justeru,
tidak hairanlah kewujudan “jenayah kolar putih” sering dipaparkan oleh media
massa yang menunjukkan salah laku melibatkan individu-individu terpelajar ini.
Sebagai pendidik, kita tidak perlu menuding jari ke arah orang lain atau
meletakkan kesalahan kepada sistem pendidikan. Sebaiknya, beri perhatian kepada
perkara-perkara yang mampu dan boleh dilakukan untuk membaiki keadaan.
Optimumkan usaha untuk mengubah berdasarkan perkara yang mampu dan perlu
dilakukan serta berpaksikan kemahuan kita yang kuat.
Berbekalkan
elemen-elemen mampu, perlu dan mahu, Insya-Allah kita boleh bersama-sama
menyumbang ke arah perubahan yang diimpikan. Walaupun perlahan, tetapi pasti.
Ini kerana sebaik-baik perkara yang dilakukan adalah berterusan walaupun
sedikit.
Cuba
kita lihat di bilik darjah, makmal, kuliah dan lain-lain, di sinilah terkumpulnya
tunas-tunas hijau yang bakal tumbuh untuk menyambung tugas generasi terdahulu
dalam pelbagai bidang. Ya, di sinilah gelanggang kita! Setiap hari mereka
datang dengan harapan mendapat sebanyak mungkin ilmu daripada kita.
Berdasarkan
kesedaran tugas bukan sekadar mengajar, tetapi juga mendidik selain
menghabiskan sukatan pelajaran, amat wajar bagi kita mengintegrasikan elemen
kerohanian dalam setiap isi pelajaran yang diajar. Cuba sedarkan pelajar bahawa
ilmu bukan sekadar lulus peperiksaan, tetapi bekalan mencapai kebaikan,
kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu juga merupakan jalan untuk
mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, membina takwa dan menyedari kewujudan-Nya
setiap masa. Ini merupakan kaedah yang berkesan dalam menangani segala bentuk
jenayah. “ CCTV” Allah ada di mana-mana. Sekiranya perkara ini difahami,
disedari dan dihayati oleh anak-anak didik kita nescaya kita akan berjaya
menyumbang ke arah menjana generasi cemerlang, bukan sekadar ilmu pengetahuan
tetapi juga ketakwaan.
Kita
juga boleh menyemai “rasa bertuhan” dalam diri pelajar pada setiap kesempatan.
Contohnya seorang pelajar menolong rakannya yang terjatuh. Berilah pujian kerana
perbuatan tersebut dan beritahunya walau sekecil mana pun kebajikan yang
dilakukan, ia akan dinilai oleh Allah SWT.
Anggaplah
setiap ruang dan peluang dalam P&P itu sebagai tempat kita menyemai
benih-benih keimanan dan ketakwaan dalam diri anak-anak didik kita. Lakukannya
secara bersahaja, istiqamah, tanpa rasa jemu dan putus asa. Biarpun secanggih
mana teknologi, keseimbangan perkembangan potensi manusia tidak harus
diabaikan. Kegagalan membentuk generasi yang seimbang ini boleh mendatangkan masalah.
Ibarat kereta yang bergerak laju, perlu dipastikan penjajaran dan keseimbangan
tayarnya bagi mengelakkan kemalangan. Begitu jugalah dengan manusia yang
bergerak pantas dalam roda kehidupan, perlu seimbang dari segi potensi insannya
untuk mengelakkan “kemalangan” di lebuh raya kehidupan.
Pelajar
yang dibangunkan potensi rohaninya akan turut terbangun dari segi emosi,
seterusnya menyumbang ke arah perkembangan intelek yang sihat. Ini kerana
seseorang itu dapat berfikir dengan baik sekiranya memiliki emosi yang damai.
Ketenangan hanya boleh diperoleh dengan mengingati Allah. Firman Allah,
maksudnya: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. (Al-Ra’d
13: 28)
Berbekalkan
kesedaran mengenai kehadiran Allah setiap masa dalam hati, kita akan merasai
rahmat dan kasih sayang-Nya. Ini membuahkan rasa syukur, sabar dan reda dalam
diri. Pelajar yang tenang tidak akan menimbulkan masalah disiplin dan
menyumbang kepada pengurusan kelas yang
baik kerana antara prinsip pedagogi ialah disiplin mendahului pengajaran.
Pelajar
yang dibajai dengan sifat syukur akan menghargai guru dan menjaga adab-adab
terhadap guru, menjadi penyejuk mata guru sekaligus menyumbang kepada
keberkatan ilmu yang ditimba. Pelajar yang kaya dengan sikap sabar pula akan
mempunyai daya juang yang tinggi, tidak mudah berputus asa dalam perjuangan
mencari ilmu pengetahuan.
Justeru,
pelajar yang berdisiplin serta mempunyai sifat syukur dan sabar menatijahkan
pelaksanaan P&P yang baik, berkesan dan harmoni. Mengintegrasikan elemen
rohani dalam P&P tidak membuang masa, malah ia boleh menjimatkan masa
lantaran guru tidak disibukkan dengan masalah disiplin atau menyediakan kem-kem
motivasi bagi menyuntik semangat dan daya juang dalam diri pelajar ini kerana
jati diri mereka telah dipupuk secara berterusan.
Tamadun
yang gemilang hanya akan dibina oleh generasi yang kaya dari segi ilmu dan
akhlak. Ia dapat dicapai melalui penghayatan agama yang mantap. Dalam
pelaksanaan P&P, potensi intelek dan rohani perlu seiring dibangunkan
dengan penuh keikhlasan, istiqamah dan kesedaran oleh setiap warga pendidik. “
Sesuatu bangsa tetap hidup selagi akhlaknya tetap baik. Apabila akhlak mereka
rosak, musnahlah bangsa tersebut.” (Shauqi Bay, Penyair Arab).
No comments:
Post a Comment