15 December 2012

TULANG IKAN YANG BERBISA



Assalamualaikum.
Apa khabar semua, Cikgu Yani harap semoga anda semua sihat dan terus membaca, mengamalkan segala ilmu, panduan dan tunjuk ajar yang diberikan di dalam blog ini. Terima kasih atas segala komen dan cadangan yang diberikan.
Hari ini cikgu Yani ada sebuah cerita untuk renungan dan iktibar kita bersama. Ceritanya begini….
Pada zaman dahulu, ada seorang nelayan yang sangat miskin. Setiap hari nelayan ini turun ke laut untuk mencari rezeki. Suatu hari nelayan ini hanya mendapat seekor sahaja ikan besar hasil seharian berada di laut. Namun nelayan ini tetap bersyukur kepada Allah yang mengurniakan rezeki kepadanya. Walaupun ikan tersebut tidak dapat dijual di pasar tetapi ikan itu akan dijadikan hidangan keluarganya hari ini.
Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja tiba nelayan ini di pantai, datang seorang pencuri merampas ikan tersebut. Nelayan miskin ini merayu agar ikannya dipulangkan semula, tetapi tidak diendahkan oleh pencuri yang mengambil ikannya itu. Akhirnya, dengan sepenuh hati dia berdoa kepada Allah: “Ya Allah, rasakanlah sesuatu yang dapat memberi pengajaran kepada dia. Mudah-mudahan dia insaf dan orang lain juga dapat mengambil iktibar”.
Di rumah, si pencuri ini masih berkira-kira apakah jenis masakan yang sesuai untuk ikan rampasannya itu. Akhirnya pencuri itu membuat keputusan untuk memanggang ikan tersebut. Setelah dipanggang makanlah pencuri itu dengan lahap sekali. Ketika dia mencubit ikan yang baru dimasak itu, tangannya tercucuk tulang halus yang terlindung di sebalik isi ikan. Sedikit demi sedikit tangannya mula berasa sakit. Sakitnya pula melarat dari hari ke hari hingga terbentuk luka yang semakin parah bekas tusukan tulang ikan yang dicurinya itu.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk merawat dan mengubatinya, ia tidak juga mendatangkan apa-apa hasil. Bahkan menurut tabib yang merawatnya, bahagian tangannya itu terpaksa dipotong.
Hidup si pencuri malang itu sudah tidak tenteram lagi. Hatinya sentiasa sedih dan cemas. Dia tidak boleh tidur nyenyak lagi kerana kesakitan dan memikirkan nasib dirinya.
Dengan takdir Allah SWT, suatu malam di dalam tidurnya dia bermimpi seakan-akan terdengar suara nelayan miskin yang pernah dianiayanya dahulu. Nelayan itu minta dipulangkan semula ikan yang dicurinya. Keesokan harinya si pencuri itu terus mencari nelayan miskin tersebut. Dia mahu meminta maaf dan minta dihalalkan ikan yang dirampasnya dahulu. Kini ikan itu sudah menjadi darah dagingnya. Selagi ia tidak dihalalkan, seluruh tubuhnya turut menanggung sakit kesan ikan yang dimakannya.
Dia benar-benar insaf. Penyakit ganjil yang ditanggungnya sekian lama itu berpunca daripada perbuatan jahatnya sendiri. Dia telah menerima pembalasannya. Oleh sebab itu, cikgu Yani harap kita dapat mengambil pengajaran daripada cerita ini. Sekian dahulu untuk kali ini..

12 December 2012

PENDIDIK YANG MENDIDIK


Assalamualaikum.
Bersua lagi, kali ini cikgu Yani ingin membicarakan mengenai perkara yang agak merunsingkan kita mengenai situasi yang berlaku dewasa ini. Setiap orang pasti berbangga dengan pencapaian memperoleh banyak ‘A’ anak-anak mereka dalam peperiksaan awam.
Bagi pihak sekolah pula, peratus kelulusan akan diberi perhatian. Seterusnya di peringkat negeri, pihak kementerian akan membuat perbandingan negeri mana yang memperoleh keputusan terbaik untuk dinobatkan sebagai “ juara antara negeri dalam pendidikan”.
Fenomena seperti ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tidak mengira apa pun strategi, teknik atau kaedah yang guru gunakan keputusan peperiksaan menjadi fokus utama yang dititik beratkan. Natijahnya, kecenderungan yang diberi kepada perkembangan intelek tidak seiring dengan perkembangan lain, khususnya rohani dan emosi.
Kesannya, lahirlah golongan terpelajar tetapi kurang terdidik akhlaknya. Seumpama para intelek yang pakar dalam bidang yang diceburi tetapi kurangnya penghayatan adab yang baik serta tidak menyedari kewujudan Allah yang sentiasa mengawasi segala pemikiran, perbuatan dan perlakuan mereka pada setiap masa dan ketika.
Justeru, tidak hairanlah kewujudan “jenayah kolar putih” sering dipaparkan oleh media massa yang menunjukkan salah laku melibatkan individu-individu terpelajar ini. Sebagai pendidik, kita tidak perlu menuding jari ke arah orang lain atau meletakkan kesalahan kepada sistem pendidikan. Sebaiknya, beri perhatian kepada perkara-perkara yang mampu dan boleh dilakukan untuk membaiki keadaan. Optimumkan usaha untuk mengubah berdasarkan perkara yang mampu dan perlu dilakukan serta berpaksikan kemahuan kita yang kuat.
Berbekalkan elemen-elemen mampu, perlu dan mahu, Insya-Allah kita boleh bersama-sama menyumbang ke arah perubahan yang diimpikan. Walaupun perlahan, tetapi pasti. Ini kerana sebaik-baik perkara yang dilakukan adalah berterusan walaupun sedikit.
Cuba kita lihat di bilik darjah, makmal, kuliah dan lain-lain, di sinilah terkumpulnya tunas-tunas hijau yang bakal tumbuh untuk menyambung tugas generasi terdahulu dalam pelbagai bidang. Ya, di sinilah gelanggang kita! Setiap hari mereka datang dengan harapan mendapat sebanyak mungkin ilmu daripada kita.
Berdasarkan kesedaran tugas bukan sekadar mengajar, tetapi juga mendidik selain menghabiskan sukatan pelajaran, amat wajar bagi kita mengintegrasikan elemen kerohanian dalam setiap isi pelajaran yang diajar. Cuba sedarkan pelajar bahawa ilmu bukan sekadar lulus peperiksaan, tetapi bekalan mencapai kebaikan, kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Ilmu juga merupakan jalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, membina takwa dan menyedari kewujudan-Nya setiap masa. Ini merupakan kaedah yang berkesan dalam menangani segala bentuk jenayah. “ CCTV” Allah ada di mana-mana. Sekiranya perkara ini difahami, disedari dan dihayati oleh anak-anak didik kita nescaya kita akan berjaya menyumbang ke arah menjana generasi cemerlang, bukan sekadar ilmu pengetahuan tetapi juga ketakwaan.
Kita juga boleh menyemai “rasa bertuhan” dalam diri pelajar pada setiap kesempatan. Contohnya seorang pelajar menolong rakannya yang terjatuh. Berilah pujian kerana perbuatan tersebut dan beritahunya walau sekecil mana pun kebajikan yang dilakukan, ia akan dinilai oleh Allah SWT.
Anggaplah setiap ruang dan peluang dalam P&P itu sebagai tempat kita menyemai benih-benih keimanan dan ketakwaan dalam diri anak-anak didik kita. Lakukannya secara bersahaja, istiqamah, tanpa rasa jemu dan putus asa. Biarpun secanggih mana teknologi, keseimbangan perkembangan potensi manusia tidak harus diabaikan. Kegagalan membentuk generasi yang seimbang ini boleh mendatangkan masalah. Ibarat kereta yang bergerak laju, perlu dipastikan penjajaran dan keseimbangan tayarnya bagi mengelakkan kemalangan. Begitu jugalah dengan manusia yang bergerak pantas dalam roda kehidupan, perlu seimbang dari segi potensi insannya untuk mengelakkan “kemalangan” di lebuh raya kehidupan.
Pelajar yang dibangunkan potensi rohaninya akan turut terbangun dari segi emosi, seterusnya menyumbang ke arah perkembangan intelek yang sihat. Ini kerana seseorang itu dapat berfikir dengan baik sekiranya memiliki emosi yang damai. Ketenangan hanya boleh diperoleh dengan mengingati Allah. Firman Allah, maksudnya: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. (Al-Ra’d 13: 28)
Berbekalkan kesedaran mengenai kehadiran Allah setiap masa dalam hati, kita akan merasai rahmat dan kasih sayang-Nya. Ini membuahkan rasa syukur, sabar dan reda dalam diri. Pelajar yang tenang tidak akan menimbulkan masalah disiplin dan menyumbang  kepada pengurusan kelas yang baik kerana antara prinsip pedagogi ialah disiplin mendahului pengajaran.
Pelajar yang dibajai dengan sifat syukur akan menghargai guru dan menjaga adab-adab terhadap guru, menjadi penyejuk mata guru sekaligus menyumbang kepada keberkatan ilmu yang ditimba. Pelajar yang kaya dengan sikap sabar pula akan mempunyai daya juang yang tinggi, tidak mudah berputus asa dalam perjuangan mencari ilmu pengetahuan.
Justeru, pelajar yang berdisiplin serta mempunyai sifat syukur dan sabar menatijahkan pelaksanaan P&P yang baik, berkesan dan harmoni. Mengintegrasikan elemen rohani dalam P&P tidak membuang masa, malah ia boleh menjimatkan masa lantaran guru tidak disibukkan dengan masalah disiplin atau menyediakan kem-kem motivasi bagi menyuntik semangat dan daya juang dalam diri pelajar ini kerana jati diri mereka telah dipupuk secara berterusan.
Tamadun yang gemilang hanya akan dibina oleh generasi yang kaya dari segi ilmu dan akhlak. Ia dapat dicapai melalui penghayatan agama yang mantap. Dalam pelaksanaan P&P, potensi intelek dan rohani perlu seiring dibangunkan dengan penuh keikhlasan, istiqamah dan kesedaran oleh setiap warga pendidik. “ Sesuatu bangsa tetap hidup selagi akhlaknya tetap baik. Apabila akhlak mereka rosak, musnahlah bangsa tersebut.” (Shauqi Bay, Penyair Arab).

10 December 2012

DENDA


Assalamualaikum.
Bertemu lagi, pada kali ini, cikgu Yani ingin perkatakan mengenai perkara yang agak sering kita lakukan iaitu ‘denda’. Sebagai ibu bapa, pendidik dan sebagainya, denda merupakan cara yang biasa digunakan oleh kita untuk mendisiplinkan kanak-kanak. Jenis-jenis denda yang lazim digunakan adalah memarahi, memukul, merotan, mencubit dan memulaukan seketika. Namun, pendekatan ini, kurang sesuai dan tidak digalakkan walaupun ia nampak berkesan untuk memberhentikan atau mengurangkan sesuatu tabiat buruk kanak-kanak khususnya yang berusia di bawah 10 tahun.
Memukul atau merotan hanya dibenarkan kepada kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke atas. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah jika mereka enggan apabila berumur 10 tahun”. Walaupun begitu, ada tempat-tempat yang haram dipukul, umpamanya muka serta bahagian-bahagian yang sensitif. Manakala pukulan itu hanyalah untuk mendidik dan bukan untuk mencederakan seseorang.
Ada kalanya mengenakan denda menjadi perlu apabila kanak-kanak melampaui had-had yang ditetapkan. Sebenarnya denda akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Kesan keburukan akibat denda ialah wujudnya perasaan marah, benci, emosi yang tidak stabil dan yang paling buruk sekali ialah kanak-kanak yang terbabit akan menyembunyikan sesuatu perkara yang negatif apabila melakukan kesalahan (untuk mengelak daripada didenda). Bagaimanapun, denda boleh digunakan sebagai jalan terakhir apabila kesemua langkah pemantapan positif telah gagal.
Jadi sebelum mengambil keputusan untuk mendenda, kita seharusnya perlu memberitahu dan menyebut secara terus terang kepada kanak-kanak ini mengenai perkara yang dilakukan itu adalah salah. Tunjukkan cara yang betul dan memujuk dengan cara yang lemah lembut supaya mereka dapat menerimanya. Selain itu, beritahu mereka mengenai keburukan perangai yang telah dilakukan itu (bukan dengan tujuan menghina dirinya), serta buatlah perbandingan dengan kelakuan yang baik sekiranya dilakukan serta nyatakan juga implikasi daripada kelakuan-kelakuan ini. Maka, dengan ini kanak-kanak akan lebih mudah dididik.
          Apa yang pasti, mendidik bukanlah usaha yang boleh terhasil dengan sekelip mata kerana pendidikan merupakan suatu proses yang berterusan hingga ke akhir hayat. Setakat ini dahulu buat kali ini, diharap dapatlah menjadi panduan kepada kita semua…

3 December 2012

TIPS CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN


Assalamualaikum.

Kali ini cikgu Yani ingin berkongsi tips bagaimana untuk cemerlang dalam peperiksaan. Di sini ada beberapa langkah yang perlu dilakukan iaitu:

Ketahui kunci peperiksaan. Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran yang lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Jadi, jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama mencari kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan yang seiras. Biasakan diri menjawab soalan tersebut supaya ingatan dapat dikekalkan dan berpanjangan.

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa yang cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akan diduduki terlebih dahulu.

Belajar di saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. Tentukan keutamaan, jangan sesekali belajar atau membuat ulang kaji untuk mata pelajaran yang disukai sahaja, tetapi merangkumi semua. Ini kerana setiap peperiksaan akan melibatkan semua mata pelajaran yang dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang. Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran. Gunalah apa-apa cara sekalipun asalkan ia dapat membantu memudahkan proses mengingat dan membuat perkaitan apabila diperlukan.

Banyak mengingat dan membuat perkaitan juga penting dilakukan dalam menghadapi peperiksaan. Gunalah apa-apa cara sekalipun asalkan ia dapat membantu memudahkan proses mengingat dan membuat perkaitan apabila diperlukan.

Untuk mencapai kejayaan, yang paling penting adalah doa dan tawakal kepada Allah SWT, itu pun setelah kita berusaha bersungguh-sungguh. Setelah persediaan rapi dilakukan maka seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT berserah kepadaNya. Semoga semua pembaca mendapat manfaat daripada tips telah yang diberikan.