1 November 2013

VIRUS KOMPUTER PALING MERBAHAYA



Assalamualaikum..
Terima kasih banyak kepada semua yang sentiasa melayari blog ini, Cikgu Yani ingin memohon kemaafan kerana sudah agak lama tidak dapat post bahan baru. Insyaallah jika ada kelapangan pelbagai maklumat akan kita kongsi bersama. Untuk kali ini, diharap semua dapat serba sedikit pengetahuan berkenaan virus komputer.

Gambar:Virus komputer.jpg 
10 VIRUS KOMPUTER PALING MERBAHAYA

Kepada anda yang ingin mengetahui apakah virus yang paling merbahaya dan paling dahsyat sekali sejak 1986, anda boleh lihat di bawah dan berhati - hati dengan kewujudan virus - virus ini.

Brain, 1986

Virus ini merupakan virus pertama yang ditemui pada tahun 1986. Tetapi virus ini tidak terlalu merosakkan komputer. Setelah munculnya virus ini,ia menjadi perangsang kepada pencipta malware dan 100000 pencipta virus bagi abad seterusnya.

Michelangelo, 1991

Virus ini merupakan virus MS-DOS yang paling teruk sekali kerana ianya menyerang apa saja yang masuk ke komputer anda seperti disket dan pendrive. Setelah menyebarkan virus selama berbulan - bulan secara senyap, virus ini diaktifkan dan merosakkan data-data yang tersimpan di dalam komputer anda.

Melissa, 1999

Virus melissa diambil nama bersempena nama seorang penari bogel. Virus ini akan disebarkan melalui emel dan dihantar kepada beribu-ribu orang. Pencipta virus ini telah dikenakan penjara selama 20 bulan.

ILOVEYOU, 2000

Virus ini merupakan virus pertama yang menggunakan tipu helah bagi menyuruh anda membuka sesuatu fail yang telah dijangkiti virus. Fail tersebut dibuat dalam skrip VBS kononnya merupakan surat cinta dan menyuruh anda membacanya.

Code Red, 2001

Virus ini menyerang melalui server web dan merosakkan laman web melalui serangan ke atas satu hos IP.

Nimda, 2001

Virus ini dibuat berdasarkan virus COde Red dan melancarkan serangan melalui laman web, emel dan sambungan internet seperti Yahoo messenger dan sebagainya.

Klez, 2001

Virus ini akan menghantar maklumat melalui emel dan mendakwa Bill Gates ingin memberi wang percuma kepada pembaca emel tersebut. Pembaca yang teruja akan klik dan virus tersebut secara automatiknya akan tersebar. Jadi, berhati-hati kepada anda yang inginkan wang percuma dari Bill Gates ataupun Microsoft..

Slammer, 2003

Virus ini merupakan antara virus yang amat pantas sekali tersebar. Ini kerana ia boleh menjangkiti kira - kira 75000 buah komputer dalam masa 1 minit. Kesannya ialah ia akan melembabkan internet anda dan merosakkan laman web. Virus ini juga lebih kurang Code Red cara penyebarannya.

MyDoom, 2004

Virus ini merupakan yang paling cepat sekali dalam sejarah disebarkan melalui emel. Ia akan selalu menghantar emel ke komputer anda dalam dalam kuantiti yang banyak.

Storm, 2007

Virus ini disebarkan melalui emel spam dan telah menjangkiti lebih 10 juta buah komputer.

16 September 2013

KEMERDEKAAN TANAHAIRKU



Erti Kemerdekaan
Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Peran
g Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisme yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara. 

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperoleh amat rapuh.
Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh. 

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden. 

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.